Archive Page 2

kata mata
Mataku berbisik sayu
tunduk sujud menyelami qolbu
menangis jentayu menanti hujan
laksana pungguk rindukan bulan
begitu aku rindukan Arrahman!
—————————
cemburu
cemburu aku jadi sipu
sipu aku bertambah malu
malu aku ingin jadi kiasu
kiasu aku kejar nombor satu
hingga begitu jadi terburu
hingga semua jadi haru
mengejar kekasih Yang SATU
hanya kerana terlalu cemburu
hanyut aku dalam laut biru
titip cemburu jadi rindu
laksana hujan yang dinanti jentayu
terus berkepak merayu-rayu
sampai awan mengirim lagu
rintik hujan bersama bayu
ceria tatkala kemarau berlalu
hijau bumi kerana Yang SATU!
khairil idham ismail
moscow, rusia
april 2008
Filed under: Uncategorized | 8 Comments
lilac (melayu+inggeris+ruski)
![]()
I melayu
Dan haruman kuntum lilac
musim semi menyinggah rumah
setulus jiwa kulahirkan sebak
kerana wangian tiba penyudah.
II inggeris
With the fragrance twig of lilac,
The spring comes into each house,
From the entire soul, I express the sorrow
As the fragrance end, and has no tomorrow.
III russia
С душистой веточкой сирени
Весна приходит в каждый дом,
От всей души Я выражаю скорбу
как душистый конец и не имеет никакое завтра
khairilidhamismail
moscow russia
may 13, 2008
jamadilakhir 7, 1429
2100
Filed under: Uncategorized | 7 Comments

Semut Hitam
Ya Allah
seperti doa-doaku yang lalu,
begitu juga doaku yang kini,
aku pohon pada-Mu
agar sentiasa ikhlas hati ini,
ikhlas umpama semut hitam
yang kecil penuh legam
yang tahu tuntutan alam
terus bekerja di lewat malam
berjalan atas batu hitam
tak nampak akan semut
namun kerja tidak terbantut
khairilidhamismail
moscow russia
0127 isnin may12,2008
jamadilakhir 6, 1429
Filed under: Uncategorized | 1 Comment
kebimbangan
foto hak milik awam ihsan wikipedia
dan musim luruh bertandang
dedaun gundah jatuh berguguran
hijau pepohon menjadi kuningan
di teduhan pokok aku sendirian
menemani resah di negeri orang
nasib diri di negeri sendiri
sirna mentari di musim luruh
berganti hembusan angin sepoi
jati diri bangsaku mula jatuh
leka berkhayal asyik didodoi
jatuh dedaun ke bumi
punya tempat untuk berpijak
sedang bangsaku asyik berpajak
kalah tak kesah, menang bersorak
hingga bahasa sudah hilang jejak
aku di negeri orang
tatkala dedaun dalam genggaman
resah dan gundah sama bertandang
khuatir apa yang aku tinggalkan?
jejak-jejak tauladan
atau hilang tiada pesan
dibayangi debu yang keliru
jalan mana yang perlu dituju?
globalisasi tak menunggu masa
atau warisan yang pantas dimamah zaman?
seakan musim yang silih berganti
seperti itu kita mencari identiti.
khairilidhamismail
moscow russia
0105 isnin may12,2008
jamadilakhir 6, 1429
Filed under: Uncategorized | 2 Comments
pokok sena (angsana)
Bertanya Sang Tua,
” Wahai anak muda,
apa kau nak jadi bila dewasa? “
Berkata Sang Muda,
“oh Ayahanda Tua,
bolehkah aku menjadi pokok sahaja?
hidup tak kesah pada hasad
di dunia membawa fasad
dicemburui hati yang jahat
hidup tenang jiwa selamat!
mengusapku penuh mesra
seraya berkata Sang Tua,
” Oh anak muda,
jika pokok cita-citamu,
jadilah seperti Angsana
dari jenis balak yang baik
dibuat kabinet, almari dan perabot
hingga alat muzik yang menghiburkan”
tambah lagi Sang Tua,
“dari Pterocarpus indicus namanya
gah tinggi malar hijau
dedaun panjang serta tangkainya
hidup berbau harum mewangi
bukan busuk hanya mencemari
bunga sebagai sumber madu
rebusan daun dijadikan syampu!”
Pesan Sang Tua,
” Jadilah kau insan berjasa
biar diri binasa,
kepada orang kau berguna!”
Sang Muda dan Sang Tua
yang tua jangan dibuang segera
yang muda jangan mentah diketepi
kerana mustahil hidup kita sendiri
khairil idham ismail
1012 moscow russia
may 9, 2008 (victory day)
jamadilawal 3, 1429
Filed under: Uncategorized | 1 Comment
nota kecil perantau
Aku meraung dalam suara bisu
menangis duka tiada berlagu
bicara hati yang tiada terdengar
sekalipun dengar terusan tegar
——————–
sungguh aku terdesak
hingga aku jadi sesak
hilang mana entah rentak
simfoni kasih yang dilunak
yang mendodoi hati enak!
————————-

dalam perkelanaaan ini,
kembara aku di negara fana
merentasi sempadan ruang dan masa
negara dunia milik Yang Maha Esa
kerajaan Pemerintah Rabul Izzah
nomad pengembara mencari berkah
taklifan digalas sebagai khalifah
kembara seorang kelana
hatiku sungguh rindukan keluarga
dari saudara yang mentauhidkan Al-Malik
di negara baqa mereka berwajah cantik
yang di dunia tidak ghairah sementara
sebagai bekal membawa di negara kekal selamanya
—————————
sepi kita tiada siapa tahu
rindu kita sukar diberitahu
bahkan orangnya Adam juga sepi
indah syurga gagal mengaburi
membuang sepi jauh dari hati
tiada cinta yang tiada cemburu*
dalam kembara aku mencari saing
berteman di fana, berteman di baqa **
bunga cinta mengharumkan taqwa
mungkinkah kumiliki
kuntuman bunga dambaan semua ?
nama mulia yang Kau sedia catat
di Luh Mahfuz rahsia tersimpan
jesteru haruman hanya buat yang beriman
Ya Tuhan ***
Kurniakan teman
dan lagi keturunan
Sebagai penyejuk mata
Penenang hati gelora jiwa
Jadikan kami imam bagi yang bertaqwa!
Pengemis Cinta
Sang Pengembara
sang Kelana
globalnomad
moscow, russia,
2008
Filed under: Uncategorized | Leave a Comment
cermin sahabat
CERMIN SAHABAT
Kau datang padaku
Tegak berdiri menatapku
aku kau renung
dalam kau tenung
seraya kau berkata
“wahat sahabat
dunia & akhirat
aku cinta akan kau!
amat sangat”‘
Aku berdiri sahaja
cermin diri bagimu
renung kau diriku
tenung dalam jiwaku
lantas aku menjawab
” wahai sahabat
hingga ke kiamat
sederhana dalam bercinta *
tidak aku yang kau cinta
hanya dirimu dalam diriku
yang kau puja! “
Khairil Idham Ismail
Moscow, Russia
April 23, 2008
rabiulakhir 16, 1429
* Cintailah kecintaanmu dengan sederhana, boleh jadi ia menjadi kebencianmu suatu
hari. Dan bencilah kebencianmu dengan sederhana, boleh jadi ia menjadi kecintaanmu
suatu hari. (At-Tirmizi)
Filed under: Uncategorized | 8 Comments
siapa aku? / di bangku tua
di bangku tua
dalam taman tyepli stan
duduk aku sepi sendirian
diam mengamati muzik alam
harmoni bunyi irama Tuhan
pesona lunak lagu penciptaan
di bangku tua
musim semi yang berbunga
tulip indah pelbagai warna
kuning dandelion mempersona
kicau merpati yang berzikir
tua muda sama mudar-mandir
sejenak lantas aku berfikir,
‘Siapakah aku dalam musafir?’
di bangku tua
hakikat diri dan alam
rahsia setiap kewujudan
bukanlah sebuah permainan *
Sang Pencipta yang bosan
hidup sendirian tidak berteman
di bangku tua
aku menyedari satu hakikat
aku dan dia adalah pekerja
hamba Raja segala dunia
merantau jauh kembali juga
taklif Tuhan atas penciptaan
semakin aku mengenal diri
semakin kuinsafi jiwa ini!
Khairil Idham Ismail
moscow, russia
1341 sabtu
april 19, 2008
rabiulakhir 12, 1429
—————————–
NOTA:-
Siapa aku?
kto ya?
man ana?
who am i?
Nama saya Khairil Idham Bin Ismail. Saya berumur xx tahun dan dilahirkan pada xx bulan xxxx di Melaka. Saya merupakan anak yang ke-x dari x adik beradik. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan King George V, Seremban kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Petaseh (Berasrama) Jelebu dan menduduki peperiksaan UPSR di SRK St Paul, Seremban. Seterusnya mendapat pendidikan peringkat menengah rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Muhammad Said, Seremban dan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah atas di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.
Adakah itu segalanya aku? Adakah situ asalanya aku? Adakah itu tujuan pengciptaan aku? Kenapa aku dilahirkan dari orang Melayu? Kenapa tidak dalam bangsa Arab jesteru terus aku memahami bacaan Al-quran? Kemana pula aku selepas ini? Benarkah setiap pengciptaan bersebab? Atau mungkin dia terjadi semata-mata begitu sahaja? Ada dan tiada tiada makna. Sejauh mana aku melestarikan kejadian aku? Sejauh mana aku berfikir tentang kewujudan aku. Apa pula sumbangan aku atas wujudnya aku? Dunia tidak menjadi lebih gembira atau lebih nestapa ada tidak adanya aku. Dalam hidup ini apakah yang aku buru? Aku menyaksikan orang mati. Ayah yang aku cintai turut sama meninggalkan aku. Namun kemanakah Ayah pergi? Adakah nanti aku bersamanya akan ketemu juga? Apakah jawapan atas segala persoalan?
Filed under: Uncategorized | 16 Comments
kenal Dia, siapa Dia

kenal Dia,siapa Dia
Ya Allah, Ya Tuhan
Kau ada dalam semua,
namun tidak semua percaya
Kau cinta pada semua
namun tidak semua cinta
Ya Allah Ya Tuhan
Kau Istigna’
wujud,
qidam,
baqa’,
mukhalafatuhu lilhawadith,
qiamuhu binafsih,
sama’,
basar,
kalam,
kaunuhu sami’an,
kaunuhu basiran,
kaunuhu mutakalliman.
Ya Allah Ya Tuhan
Kau Iftiqar
wahdaniat,
qudrat,
iradat,
ilmu,
hayat,
kaunuhu qadiran,
kaunuhu muridan,
kaunuhu hayyan.
Kau yang mempunyai segala sifat kesempurnaan,
Ampunilah kami atas segala kejahilan
Janji yang terlalu lama kami simpan
Pada-Mu doanya dipanjatkan
agar ditepati segala janji
sebelum jasad dihembus roh
sebelum aku di sini sebagai satu tubuh!
Khairil Idham Ismail
moscow,russia
sabtu, 1413
april 19,2008
rabiulakhir 12, 1429
Filed under: Uncategorized | Leave a Comment
cium peluk ayah

Pipiku disinggah ciuman
Bersama beberapa helaian misai
Dalam geli kurasa kehangatan
Dakapan ayah rindu memeluk
anak yang pulang dari bercuti
musim panas di negeri orang
Bukan pertama dalam ciuman
Tidak juga dalam dakapan
Nafasnya berbeza menyampai rahsia
Menyentak sukmaku yang serba keliru
Hangat dan geli yang tidak seperti dulu
Lesu derita Ayah menunggu peneman masa
tetamu jauh dari Rusia,utusan jauh dari Yang Esa
Di negeri orang
Tiada lagi ciuman ayah
besar lengannya yang memeluk
Semalam kumenunggu warkah ayah
Namun hari ini kuterima kalung takziah
Tetamu Rusia pulang sudah,
Utusan Yang Esa pula menyinggah.
Hiba sendiri di negeri orang
masih segar ciuman dan pelukan
dalam kehangatan ayah berpesan
bercermin di muka berkaca di dada
merasakan kepedihan yang hilang kata
pulang nanti jadi insan berjasa!

khairil idham ismail
moscow, russia
april 17, 2008
rabiulakhir 10,1429
0510
Filed under: Uncategorized | Leave a Comment
tangis pada selayakNYA
Buat mereka yang kehilangan insan tersayang
(Alfatihah)
pedih kerana sedih
sakit menjadi perit
gelora emosi tertekan
duka sesudah sengsara
kehilangan yang terasa
tiada ganti tiada dua
insan yang amat berharga
sejuklah hati yang nestapa
reduplah panas di kejora
kembanglaah kesuma bahagia
mu’min tidak meratap sahaja
hingga selaut kasih air mata
hingga kering menjadi kontang
lunak suara jadi sumbang
meraung jiwa suara hilang
samar kelam hilang bayang
yang pergi tidak kembali
yang tinggal bagaimana hati
doa terus ke hadrat Ilahi
mardhatillah puncak hakiki
hingga bertemu yang dikasihi
di taman syurga Rabbulizzati
—————————–
Berhentilah
berhentilah sayang
menangis zaman berpanjangan
kesatlah air mata yang menitis
antara hati,air mata dan pipi
saksi tangisan yang meratapi
selayaknya ratapan itu dipanjatkan
jangan berpanjangan jangan tak kesudahan
Kekasih Yang Satu adalah mutlak dambaan
Pada Dia air mata lebih berhak
tumpuan seluruh jiwa sebak!
khairil idham ismail
moscow, 116 am , 130am
april 15, 2008
rabiulakhir 8, 1429
Alfatihah buat Isbiha dan seluruh muslimin & muslimat, mu’minin dan mu’minat
Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh) Azzukhruf:67
Filed under: Uncategorized | 1 Comment
angkuh+irama Tuhan

Angkuh!
Mendakap dunia
tangan seluas sedepa
walau sekecil-kecil makhluk
biar sebesar-besar memeluk
Angkuh diri penguat jiwa
yang mustahil jadi nyata
yang kabur jadi jelas
yang takbur jadi tadabur
menggoncang dunia terus digempur
Hadirlah angkuh
dalam diri yang rendah
dalam jiwa yang gelisah
bongkak menegakkan kebenaran
lantang menolak kemungkaran
Tunduk pohon secebis angkuh
dari Tuhan Segala Penyuruh
wajib selamanya Dia dipatuh
jatuhnya agama tiadanya angkuh
melihat agama selamanya runtuh!
menjadi khalifah
tiada siapa yang kata mudah
tugas harus dijunjung izzah
hadirkan angkuh pada lemah
syarat khalifah dalam berdakwah!
——————————–
Irama Tuhan
fajar menyinsing siang
alunan irama kadangnya riang
kadang pula gerhana terang
muzik alam melunakkan
cermin dunia dan kehidupan
menari rentak biar seirangan
irama Tuhan tiada pertikaian
nota lagu Allah Yang Satu!
khairil idham ismail
moscow, russia
0310
april 13, 2008
rabiulakhir 6, 1429
Pesan HAMKA ‘Jadilah orang yang besar untuk memikul cinta besar’
Deskripsi foto: siap-siap ke kerja dan sedang bekerja. selamanya kita hidup di bumi Allah, selama itulah kita pekerja Allah. Siapkan laporan sebelum date due. Walau macam mana sekalipun perubahan dalam kehidupan seharian, tugas khalifah dilupa jangan. saling berkait antaranya; kehidupan dan memakmurkannya. soalnya bagaimana? balik sahaja kepada Tuhan Yang Maha Esa!
Filed under: Uncategorized | 2 Comments
malu bebenor ghasenye teman …..

Aku malu
Siapalah diriku
Insan hina dari lain bulu
asyik mainkan lagu
zapin
keroncong
nazam
orkestra
namun semua sumbang sahaja
dek kerana penyusun irama
di dada ilmu tiada!
Aku malu
malu lahir dari kesedaran
malu itu sebahagian iman
titipkan hati rasa malu
cari ilmu supaya tahu
agar jadi insan mampu
cetus lahir rasa mahu
seirama dan selagu
selangkah niat satu
tahu,
mampu
dan mahu!
aku yang amat sangat malu,
khairil idham ismail
moscow 0033
April 8,2008
Rabiulakhir 1,1429
Filed under: Uncategorized | 10 Comments
wajah yang kurindu!

wajah yang kurindu
di sebalik hijab rahsia
terkandung wajah istimewa
dambaan penghuni taman idaman
balasan tambahan yang dijanjikan * (1) (yunus:26)
dari debu hitam yang terpelihara
dan kehinaan yang dihindar jaga
wajah-wajah yang berseri-seri
pada hari terlerainya misteri
milik tiada sekutu Rabbulizzati
kepada-Nya seluruh umat melihat* (2) (al-Qiyamah 22-23)
atas puncak nikmat segala nikmat
menyaksi wajah-Nya walau tiada bertempat
wajah-wajah yang bermuram durja (3) (al-Qiyamah 24-25)
nestapa sengsara yang bakal tiba
dahsyat malapetaka tiada terhingga
bingung resah golongan kafir laknat
menyesal janji dimungkir nikmat
lantas bersedia azab sengsara
neraka puncak sengsara segala sengsara
tiada pertemuan yang lebih diharapkan * (4) (al-ankabut 29:5)
selain liqa’ bersama Kekasih tercinta
suatu masa yang amat kunanti
walau bila masa yang dijanji
kerana kuyakin janji Ilahi
tiada yang benar selain pasti
melihat wajah-Mu Rabbi,
punya syarat yang harus ditepati,* (5) (Al-Kahfi : 110)
amal soleh serta tiada sekutu
dalam ibadah hatinya tentu
tida Tuhan selain-Mu Yang Satu
Allahurabbi wajah yang kurindu!
khairil idham ismail
moscow
Ahad,
April 6, 2008
Rabiul Awal 29, 1429
657 pagi
—————————————————————
nota kaki:-
1)
Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (surga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni surga, mereka kekal di dalamnya.
(Yunus: 26)
Yang dimaksud dengan “tambahan” pada ayat di atas adalah memandang wajah Allah sebagaimana disebutkan dalam satu riwayat dari Shuhaib Radhiyallahu ‘Anhu ketika menafsirkan ayat di atas Rasulullah Sholallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda (yang artinya): Kemudian ketika penghuni surga telah masuk surga, Allah tabaraka wa ta’ala berfirman: “Apakah kalian menginginkan sesuatu tambahan?” Mereka menjawab: “Bukankan engkau telah memutihkan wajah-wajah kami, bukankah engkau telah memasukkan kami ke dalam surga dan Kau selamatkan kami dari api neraka?” Kemudian Allah menyingkapkan hijabnya, maka tidak ada pemberian yang lebih mereka sukai daripada memandang wajah Allah Azza wa Jalla. (HR. Muslim)
Menurut Ibnu Qayyim, yang dimaksud dengan kata al-husna di ayat itu adalah al-jannah (syurga), sedangkan yang dimaksud dengan az-ziyadah (tambahan) adalah memandang wajah Allah Yang Mulia. Ini adalah tafsir Rasulullah saw atas ayat itu dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahih-nya.
Rasulullah membaca ayat lilladzina ahsanu al-husna wa ziyadah, lalu bersabda, “Jika ahli surga sudah masuk ke dalam surga, demikian juga ahli neraka sudah masuk ke dalam neraka, maka ada seorang malaikat yang menyeru: Wahai ahli surga, sesungguhnya kalian telah dijanjikan di sisi Allah, maka sekarang Allah hendak menunaikan janji itu kepada kalian. Mereka berkata: apakah janji itu? Bukankah Dia telah membuat berat timbangan kebaikan kami dan telah membuat putih (cerah) wajah kami, serta telah memasukkan kami ke dalam surga dan mengeluarkan kami dari neraka? Akhirnya, tabir pun dibuka lalu mereka bisa melihat kepada-Nya. Sungguh tidak ada sesuatu yang telah Dia berikan kepada ahli surga yang lebih mereka cintai daripada melihat kepada-Nya. Itulah yang dimaksud dengan ziyadah.”
2)
[22]
Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;
[23]
Melihat kepada Tuhannya.
Oleh kerana itu dalam ayat di atas (surat al-Qiyamah), Allah Subhanahu Wata’ala dengan jelas mengatakan “ila rabbiha nadhirah”, yang bererti kata “nadhara” disebutkan dengan huruf bantu “ila” dan bermakna “melihat dengan mata kepala”.
Tambahan lagi disebutkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala pelaku dari pekerjaan melihat di atas adalah “wajah-wajah mereka”. Maka tidak tepat kalau diertikan “wajah mereka menunggu” atau “wajah mereka bertafakkur”. Yang tepat adalah “wajah mereka melihat”, karena kemana mata memandang ke sana pulalah wajah menghadap. (Penjelasan lebih lengkap, baca Syarh Aqidah ath-Thahawiyah, Ibnu Abil ‘Izzi, hal. 189-190)
3)
“Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram, mereka yakin bahwa akan ditimpakan kepadanya malapetaka yang amat dahsyat.” (QS Al Qiyamah: 24-25).
4)
[5]
Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al Ankabut 29:5)
5)
Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Rabb-nya, maka hendaklah ia mengerjakan amal shalih dan janganlah ia mempersekutukan-Nya dalam beribadah kepada Rabb-nya. (al-Kahfi: 110)
Filed under: Uncategorized | 12 Comments
Geert Wilders,keparat Belanda

wahai saudaraku
kenapa kau masih lena
diulit mimpi sia-sia
menjelajah negeri fantasi
hedonisma indah duniawi
asyik dodoian keparat syaitan
dalam pelukan erat melalaikan
wahai saudaraku
Geert Wilders telah melontar strategi
Sang Belanda yang gilakan kuasa
demi mengejar populariti dunia
meraih parlimen undi simpati
menabur fitnah penuh mengaburi
dalam janji menghina suci
agama saudara yang satu
dari Tuhan Yang tiada sekutu
Wahai saudaraku
Ayuh tangan diangkat bersama
pohon agar hidayah kepadanya
Geert Wilders itu jahil orangnya
tapi kalian jauh lebih jahil
berpeluk tubuh menjadi degil
berterusan tiada kesedaran
dalam lena mengejar angan-angan
agama ditinjak tak mengapa dibiarkan!
khairil idham ismail
April 3, 2008
Rabiul Awal 26, 1429
moscow,russia
Filed under: Uncategorized | Leave a Comment
Cemburu pada pencinta Ilahi
Ya Allah
kalam-Mu seharian kubaca
solat pengabdian sentiasa kupelihara
ibadahku dijadikan alasan
pengaku cinta tidak bertepian
kepada Allah Arrahman.
Ya Allah
namun aku khuatir
cinta mungkin tiada balasan
kerana TAKBUR aku dalam bercinta
menyangka ibadahku sahaja yang diterima
imanku seorang yang lebih mulia
berbanding hamba-Mu di atas dunia
Ya Allah
aku juga gelisah
jika setiap amalan kusandarkan
bukti cintaku yang teragung
dek kerana mahu disanjung
mengejar pujian tinggi melambung
amal penuh tanpa selindung
Ya Allah
aku penuh ketakutan
menunggu cinta tanpa jawapan
cemburu aku tidak bertempat
dibayangi DENGKI yang mengaburi
pencinta-pencinta-Mu Ilahi!
Mac 12, 2008
Rabiulawal 4, 1429
——————————————-
#: Hadith Rasulullah S.A.W dari kitab Sahih Muslim: “Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia.”
Oh hartanya sedikit
jariahnya tidak tercuit
ilmunya sekejap ada
banyaknya yang tiada
diamal jarang sekali
dikongsi apatah lagi
bagaimana mengaku cinta
sedang pengorbanan sedikitpun tiada
sedang lain asyik terusan berlumba *
tidak terkejar dek aku manusia biasa
meraih kasih mendamba cinta
pada Yang Satu sering kupuja
mengharap mawadah aku jadi gelisah
ingatan peranan sebagai khalifah
mentadbir bumi harus jujur amanah
cinta bukan semata atas sejadah
namun dititip indah atas jalan dakwah
bersatu hati segrombolan jemaah
menyeru kebaikan mencegah salah
tunjang kekuatan peribadi ummah
aku cemburu Kekasihku
aku cemburu
aku cemburu
kadang aku tambah malu
menjadi pewaris intan mutiara
dari keturunan yang memilikinya
lain pula mereka yang menyelam dalam
mencari sebiji mutiara Islam
dipelihara dijaga sayang
ditatang bukan kepalang
cemburu aku cemburu sayang
kasih aku mengharap pandang
mahu aku menjadi terbilang
hamba-Mu yang kuat berjuang
menegakkan agama Yang Esa
terusan memakmurkan dunia
dalam resah menagih cinta
khairil idham ismail
April 3, 2008
Rabiul Awal 26, 1429
moscow,russia
Filed under: Uncategorized | 2 Comments
Jejak aurora borealis


Jejak Aurora Borealis
Di utara pusat muka bumi
sejuk dingin diliputi salji
Auora Borealias menerjah sepi
menari-nari menerangi gelita
menghiasi pentas langit malam
seolah muncul lagu mempersona
seiring rentak si cahaya utara
Cahaya hijau dan merah
Bermulanya renggang ares-aresan
Hingga berkembang membentuk kumpulan
Mengundang tanya irama apa dilunak
diringi orkestra yang cekap
dipimpin Konduktor Yang Maha Bijak
Sinar mentari yang menyinari* (al-furqan:61)
Antara cas dan magnetik yang melingkari
bertindak balas dan berinteraksi
Gas yang wujud di muka bumi
Menghasilkan cahaya warna-warni
saksi kebesaran Rabbulizzati
Bumi dan bimasakti
semua teratur mengikut alunan
ritma tersusun kuasa Tuhan
hingga bait-bait yang lahir
tatkala aurora tampil hadir
kepada Allah seluruh alam berzikir
Khairil Idham Ismail
—————————————
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya pada malam terakhir di bandar Murmansk berpeluang juga saya menyaksikan fenomena aurora. Murmansk merupakan bandar terbesar yang terletak di kutub utara. Sungguhpun suhu 20 di bawah paras sifar namun kepuasan menyaksikan kebesaran Allah ini benar-benar memukau saya lantas syukur ke hadrat-Nya segera dipanjatkan dan sujud menyembah-Nya dilengah tidak.
Namun sayang saya gagal menangkap gambar fenomena ini dengan baik. Cukup sekadar menyaksikan dengan mata kepala sendiri. Sila klik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aurora borealis.
———————————–
Sakit bertambah kuat. Doakan saya semua selamat. Salam muhibbah buat semua. Semoga sentiasa bahagia.
Filed under: Uncategorized | 12 Comments
sakit

Idham:-
Kepala di rasakan cukup berat
Hatta untuk berdiri pun tak larat
Bukanlah kerana otak penuh maklumat
Namun kudrat Allah menarik nikmat
dari tubuh badan yang sihat
Keadaan menjadi makin tenat
Bila kuhitung hari penentuan semakin dekat
Berperang dengan waktu buat aku jadi penat
Habis luluh segala keringat
Azimat bonda ayahanda tetap ku ingat
Walau tergadai diriku menjadi mayat
Setiap kata akan kusemat
Berjuang hingga ke penghujung hayat
…..Namun sungguh kini kepala ku rasa berat
Mampukah aku menghabiskan baris-baris ayat
Hafalanku langsung tiada satu yang melekat
Sebagai bekalan pada hari yang penuh azimat
Aku perlukan rehat
dari ketegangan yang semakin melarat
Waktu yang singkat membatalkan hasrat
Ya Allah Yang Maha Kuat
Aku sungguh tak kuat.
Khairil Idham Ismail
Allahumma solli ala saidina Muhammad
Tibbil qulubi wa dawaiha
Wa a’fiyatal abdani wa syifai’iha
Wa nuril absori wa dhiyoiha
Wa ‘ala alihi wasohbihi wabarik wasalim
——————————————————-
Isbiha
Didik minda anda dengan semangat
dan azam bahawa anda sihat dan selamat,
anda kuat dan berkudrat.
Namun usaha perlu dibuat,
kalau sakit perlu berubat,
kalau penat perlu berehat,
kalau cuai kembali cermat,
makan minum sihat dan selamat,
syukuri segala hikmat dan rahmat,
kepada Allah kita berkhidmat,
doa restu jadi pengikat,
setiap hari menghadap kilbat,
hati kan tenang beroleh syafaat.
Dari jauh, ayah bonda sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidupmu setiap detik setiap ketika di dunia dan di akhirat.
————————————————–
Sajak di atas ditulis pada januari 11,2007 hari keputeraan Isbiha di blog easyjournal yang bertajuk semuanya AT. Pada masa yang sama aku sedang menghadapi peperiksaan musim sejuk dengan keadaan diri yang sangat sakit. Sajak aku segera dibalas oleh Isbiha dengan kiriman private message seperti di atas.
Sejak semalam aku sudah tidak sihat. Semuanya sakit. Dahulu aku pernah menyampaikan khidmat pesanan ringkas kepada seorang teman di Malaysia agar kesihatan dijaga selalu. Kataku lagi Al-aqli salim fil jismi salim, otak yang sihat pada tubuh badan yang kuat. Lantas teman mengingatkan aku pula kepada 10 ciri individu muslim/10 muwasafat iaitu salah satunya ialah qawiyul jismi iaitu tubuh badan yang kuat.
Pesan Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Baihaqi, Ibnu Abidunya dan Ibnu Mubarak yang bermaksud:
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu selagi engkau sihat sebelum datang masa sakitmu, selagi engkau kaya sebelum datang masa miskinmu, selagi engkau menganggur (banyak waktu) sebelum datang masa sibukmu dan selagi engkau masih hidup sebelum datang masa kematianmu.”
Semoga kalian dalam keadaan sihat walafiat!
Filed under: Uncategorized | 4 Comments
melayu sejati

Melayu sejati berjiwa besar
tak pernah lupa asal dan akar
bercakap lurus berkata benar
tahu menimbang bijak menakar
jiwanya kental tak pernah gusar
petua diingat amanah didengar
pantang sekali berlaku kasar
adat budaya tidak tercemar
dijadikan induk tak pernah mungkar
pada yang buruk tidak digemar
kerjanya teliti menuju sasar
tempat berpijak tidak berkisar
rela berjuang biarpun sukar
akalnya panjang berhati sabar
dilindungi Ilahi, Allahu Akbar
janji Allah tetap bersinar
Filed under: Uncategorized | 4 Comments
lagi dan lagi hingga bila?
Sejuta kali aku taubat,
Sejuta lagi aku buat,
walau ku berenang keluar dari lumpur maksiat,
namun kaki ku tetap di pesak bumi melekat.
Kau pasti menjengukku
walau sesaat aku melupakan-MU
menghulurkan tangan membelai sayang
mengusap mesra lena di pangkuan
hingga tersedar di lubuk maksiat aku masih kelihatan
Dan Kau tetap melawati
mentatih agar ke pangkal jalan aku kembali
Jerlus mana aku selami
Kau tetap berada di sisi
Kau Arrahman Arrahhim
Maha Pemurah Maha Mengasihani
Khairil Idham Ismail
Filed under: Uncategorized | 7 Comments
merajuk

aku ingin merajuk
namun siapa yang ingin memujuk
aku ingin merajuk
namun apa sangat yang aku kemaruk
aku ingin merajuk
namun semua hanya bertambah teruk
aku ingin merajuk
namun masa sudah suntuk
aku ingin merajuk
namun aku hanya dimaki kutuk
aku ingin merajuk
namun riuh hanya akan jadi hiruk-pikuk
kata orang tua,’aku ingin marajuk!’
kata orang muda ‘namun kau sudah terlalu tua untuk merajuk.sungguh buruk!’
sungguh,aku memang merajuk!
biarlah aku tua
biarlah aku muda
aku ingin merajuk!
Filed under: Uncategorized | 3 Comments
warkah isbiha

membuka kotak coklat itu
mengenangkanku kepada seribu nostalgia
dalamnya merupakan khazanah yang amat bernilai harganya
helaian-helaian kertas yang penuh dengan kata pujangga
seorang pendeta di hati anak yang sering terleka
aku membelek satu persatu
kertas itu menjadi saksi rindu
antara ayah dan anak yang jauh beribu batu
Ayah di nusantara dan aku di bumi Rusia
warkah menjadi medan segalanya
menzahirkan cinta dan kasih mengagungkan Yang Satu
namun kini ayah sudah tiada
bersama sanggar hati yang dibawa pergi
membawa segala warkah keramat
tiada lagi kata-kata hikmat
pujangga ayahanda yang penuh azimat
mendidik dan menasihat
merotan dan mencubit
membelai dan memeluk
Warkah ini titik segalanya
bertemu atas nama kasih
berpisah atas nama sayang
aku percaya Dia lebih kasih dan sayang
akan hambaNYA sepertimu
Doaku mengiringimu dari jauh
Semoga bersama mu’minin dan para solihin
Di taman sejatera aman sentosa
Sehingga kita berjumpa lagi
dalam warkah cinta di dunia sana
Salam sayang penuh mesra
Iklas daripada
anakanda mu Isbiha.
Filed under: Uncategorized | Leave a Comment
Warkah buat Allah
Kekasihku Yang SATU
kukirimkan buat Mu
warkah yang paling indah
tulisan hatiku yang keluh resah
bergelumang dalam silap dan salah
Hanya kepada Mu aku berserah.
Ketahuilah Kekasihku sayang,
Sesungguhnya aku perit dan derita
tanpa cinta-Mu aku sengsara
tanpa kasih-Mu tiada terbayang
kerinduan yang agung buat Kau seorang
menyusuk hati tiada tertanggung
Dakapilah aku Ya Allah,
Kau Yang Kusanjung!!
——————————————–
hati penuh tertekan
jiwa penuh diselubung sejuta perasaan
umpama kabus pagi meliputi pemandangan
aku rasa kehilangan.
Kesejukan aku menggigil sendirian
Di tengah ribut salji yang padu
aku tak tahu kemana hala tuju
Sakit menikam menyusuk kalbu
Ya Rabbi
Sambutlah aku
Peluklah aku
Dakapilah aku
Aku sesungguhnya rindu
Di bumi sejuk ini aku rasa syahdu
Seolah sendiri tanpa hala tuju
menagih kasihMU Tuhan Yang Satu
ما لي رب سواه
ما لي رب سواه
Tiada bagiku Tuhan selainMu
غفار يمحو الذنوب
Tuhan Yang Maha Pengampun dan Penghapus dosa
ما لي رب سواه
Tiada bagiku Tuhan selainMu
نور يهدى القلوب
Cahaya yang memberi hidayah kepada hati
يا الله عبد كثرت ذنوبي
Ya Allah hamba ini yang banyak berdosa
زادت حولي كروبي
Bertambah-tambah malapetaka di sekelilingku
منك إليك هروبي
Daripadamu dan kepadamulah jalan keluarku
يا الله لا تحرمني نعيما
Ya Allah janganlah haramkanku syurga Naim
لا تتركني سقيما
Jangan tinggalkanku dalam penderitaan
يا منان الرحيم
Wahai Tuhan Yang Maha Mengurnia lagi Maha Mengasihani
يا الله أنت العلى القادر العظيم
Ya Allah Engkaulah Yang Maha Tinggi, Maha Berkuasa dan Maha Agung
يا الله أنت السميع البصير العليم
Ya Allah Engkaulah Yang Maha Mendengar,Maha Melihat dan Maha Mengetahui
ما لي رب سواه
Tiada bagiku Tuhan selainMu
رب السماء العطوف
Tuhan kerajaan langit, Tuhan Yang Maha Mengasihani
يغفر لمن عصى
Tuhan Yang Mengampuni orang-orang yang berdosa
وهو الحليم الرءوف
Dan Dialah Yang Maha Lembut dan Maha Mempunyai belas kasihan
يا الله رحمن للبرايا
Ya Allah Tuhan yang bersifat Pemurah atas kebaikanku
غفار للخطايا
Tuhan Yang Maha Pengampun kesilapan-kesilapanku
ورجاءي هو هدايا
Dan Dialah tempatku bergantung harap dan Dialah sumber hidayahku
يا الله ارحم ضعفي وحالي
Ya Allah kasihanilah kelemahanku dan keadaanku
فاق الذنب احتمالي
Bertambah dosa yang aku pikul
فاغفرلي يا ذالجلال
Ampunilah aku wahai Tuhan yang Maha Agung
يا الله انت العزيز الغفور الرحيم
Ya Allah Engkaulah Yang Maha Besar, Maha Pengampun dan Maha Mengasihani
يا الله انت القدوس السلام الكريم
Ya Allah Engkaulah Yang Ma
Filed under: Uncategorized | Leave a Comment
kek keju

1 cawan biskut (krim kreker pun boleh)
3 sudu besar mentega
3 sudu besar gula
Lenyek biskut ngan mentega & gula. Masuk dlm acuan kek. Then bake for 10 minute kepanasan 350
400 gram cheese spread
4 biji telur ayam
3 sudu besar tepung gandum
1 cawan gula
1 sudu besar esen vanila
1 bekas kecil smetana (sour creame)
1 biji lemon (di ambil perahan air limau)
1 tin Blueberry Pie Filling
Cara-caranya
Semua bahan tadi mix kan kecuali 1 biji lemon, bila dah blend masukan perahan limau. Kacau sikit biar sebati ngan lemon.
Lepas tu tuangkan perlahan2 dlm acuan (acuan biskut yang dibakar tadi). Bakar kek dengan kepanasan sederhana 1 jam, atau 350 degree selama 30 minit atau sampai masak
Bila masak kek tadi colour light yellow.
Jangan panik sebab bila kek dah nak sejuk selalunya terbelah sikit (crack). Biasa la tuu … cheese kena bakar!
Bila dah sejuk, ambik blueberry pie filling tadi tuang atas kek perlahan-lahan biar dia meleleh kat tepi-tepi kek tu, baru selera nengok. Kalau nak cantik lagi,make-upkan kek nie, taruklah hirisan buah kiwi ka apricort ka, strawberry ka, apa-apa saja yang suka.
P/s: CHEESE CAKE NIE TAHAN LEBIH SEMINGGU, COVER CAKE NGAN ALUMINUIM FOIL, KEEP IN FREEZER

tahun 2004

tahun 2007
p/s:- Selain mengambil gambar dan menulis inspirasi dari Isbiha, saya juga suka membuat kek inspirasi dari Bonda. Selamat Mencuba! =)
Filed under: Uncategorized | 10 Comments
trilogi sepertiga malam

sepertiga pertama
sepertiga kedua
sepertiga ketiga
TRILOGI PERTAMA
Pada malam sepertiga pertama
sebelum aku jatuh terlena
antara dua kelopak mata
ditutup rapat, tenteram dan selesa
hadirkan witir pada Yang Esa
*’Dengan menyebut nama Engkau,wahai Allah,
aku mati dan aku hidup’
Dalam pembaringan malam
layang ingatan pada nasib badan
mampukah syurga menjadi idaman
dosa demi dosa berterusan
menitis air mata tiada makna
menyuci dosa yang tidak terhingga
TRILOGI KEDUA
pada malam sepertiga kedua
indahnya lena yang selesa
walau berbantalkan tangan sendiri
namun terus dibuai permai mimpi
lantaran lena adalah keranaNYA
istirehat ibadah pada malam gelita
Dalam selimut kasih-Mu
mententeramkan gementar hatiku
layar mimpi syurga abadi
pesona indah daerah haqiqi
hanya dengan belai ma’firat-Mu
mimpi itu menjadi realiti
TRILOGI KETIGA
pada malam sepertiga ketiga
aku dibisik murni bicara-Mu
dari surah al-Muzzammil Kau memanggil
**’wahai,orang yang berselimut,
bangunlah walau sedikit’
lantas terjagaku dari lena
agar segera mengabdikan diri
di keheningan pekat malam,
hamba yang hina ini bersaksi
dalam tahajudku memuji-Mu
sujud mengizzah kebesaran-Mu
pengabdian hanya pada Yang Satu
***’Segala pujian bagi Allah,
yang telah menghidupkan kami
sesudah mematikan kami;
dan kepada-Nya tempat kami kembali’
* hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim
** Al-Muzzammil:1-2
***hadis riwayat Al-Bukhari
Filed under: Uncategorized | Leave a Comment






