sorot kembali
Jun 12 setiap tahun juga adalah merupakan ulangtahun kelahiran aku. Dilahirkan di Hospital Besar Melaka 24 tahun dahulu membuatkan aku dahulunya begitu tertarik dengan kisah-kisah sejarah Melaka apatah lagi dengan kepahlawanan dan persaudaraan Hang Tuah dan rakan-rakannya. Entah kenapa dalam lima pahlawan itu aku paling tertarik kepada Hang Lekir, bukannya Tuah dan bukan juga Jebat. Mungkin ketika di sekolah rendah dahulu nama rumah sukan aku ialah Hang Lekir dan kebetulan warna rumah sukan itu merupakan warna biru muda antara warna kegemaranku menyebabkan aku begitu menyelaminya.
Tepat jam 0000 waktu Moscow dengan GMT +3 , aku menyambut ulangtahun kelahiran ini dengan menanti masuknya waktu solat Isyak di musola Volgina dengan penuh tanda kesyukuran ke hadrat Allah masih lagi dikurniakan nikmat umur dan kesihatan yang panjang meneruskan sisa-sisa baki kehidupan yang entah tak diketahuinya sempat atau tidak bertemu lagi jun 12 yang berikutnya.
Allah berfirman dari Surah Al-Imran ayat 185 bermaksud : -
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Menyorot semula setahun yang lalu dari hari ini, pelbagai peristiwa yang padanya hadir tangisan tak diundang malah tak lekang juga senyuman terlukis mengubat walang. Episod naik jatuh, air mata dan senyum dalam tempoh ini memberikan pelbagai nostalgia buat diriku.Sungguh setahun yang aku lalui ini adalah satu episod yang terlalu banyak plot-plot yang menjadi mainan Pengarah Allah Yang Maha Esa sedang aku menjadi pelakon layar setia-Nya.
Siapalah aku ini sebenarnya kalau mahu dibandingkan dengan jutaan pemuda-pemudi seantero dunia yang berlumba-lumba mengejar cinta Allah Yang Maha Esa. Tatkala umur mencecah setahun sahaja beza dari suku abad, aku ini masih lagi seorang hamba hina yang sering mengemis cinta Yang Kuasa namun untuk membuktikan kebesaran cinta aku ini jarang sekali adanya. Cinta yang disebut-sebut sebagai cinta yang berinisiatif yang sentiasa berusaha mengejar redha-Nya. Sungguh, dimana hendak dicari kekuatan jika tidak selain berpaut pada cinta Allah ini.
Paling memberikan kesan kepadaku sepanjang sorotan setahun yang lalu ini ialah kehilangan insan yang amat kusayang iaitu Isbiha. Kehilangan hanya terasa apabila sudah tiada. Dalam melewati lenaku, aku ingin sekali menemuinya dalam mimpi, biar dirinya dapat kupeluk dan kucium untuk menyatakan betapa rindunya seorang anak pada ayah. Apa yang begitu menyedihkanku ialah aku tidak berpeluang sebagai anak lelakinya mengiring jenazah ayah untuk pengkubumian. Aku tidak dapat berkongsi penulisanku yang tak seberapa yang tersiar buat pertama kalinya di cetakan Dewan Masyarakat. Apatah lagi aku tidak dapat berkongsi saat-saat menghadapi peperiksaan dalam penantian menggengam segulung ijazah.
Namun sesungguhnya aku percaya, segala yang berlaku ini pasti ada hikmahnya. Biarpun pepatah mengatakan patah tumbuh hilang berganti, namun hilangnya Isbiha pasti tiada ganti. Dalam aku menafikan pepatah itu, sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Bijaksana dalam mengatur segala-galanya. Aku meletakkan segala puncak tawakal kepada Allah dalam melalui liku-liku kehidupan ini.
Tidak pernah langsung terlintas di benak fikiranku yang apa sahaja dari mulutku, fikiranku mungkin sekali menjadi pilihan orang. Aku dari kecil dibesarkan dengan banyak penafian. Dinafikan itu, dinafikan ini , dinafikan pelbagai perkara hinggakan aku merasakan diam itu lebih mulia daripada berkata-kata. Gambar yang aku petik dari punat shutter menjadi pilihan Editor Majalah Zenith di Germany, sajak aku yang tak seberapa dicetak di Mingguan Malaysia dan Berita Minggu selama tiga minggu berturut, begitu juga gambar yang tersiar di CAIR Chicago dan artikel pendek di Dewan Masyarakat membuatkan aku bertambah kerdil di dunia ini.
Aku panjatkan segala puncak kesyukuran ke hadrat Tuhan Allahurrahman kerana kasih sayang yang dilimpahi pada hamba-Nya ini tidak pernah putus sungguhpun sesekali aku mengabaikan. Atas segala nikmat yang dikurniakan, aku mula menyapa diri sejauh mana sudah aku kembalikan yang haq pada miliknya? Sejauh mana pula aku telah menjalankan tanggungjawab dan tugas yang digalas kepada bahuku ini? Kalau diambil contoh majikan dan pekerja aku ini pastinya diumpama sebagai pekerja makan gaji buta. Minta saja gaji dinaikkan tetapi kerjanya tak dilakukan.
Semoga Jun 12, 2008 membuka lembaran baru yang lebih bermakna dalam aku terus mengembara ke destinasi abadi menghadap Rabbulizzati nanti. Aku simpan segala angan, mimpi, azam , harapan dan cita-citaku di dalam hati moga-moga direstui dan diredhai Ilahi.
Idham,
Selamat Hari Jadi. Semoga panjang umur, murah rezeki dan diberkati-Nya selalu.
(dah kalau tak sendiri nak ucapkan, takkan nak mengharap orang lain pula)
Selamat Hari Jadi ke 18. =)
Antara (bukan semua) peristiwa yang berlaku sepanjang 12 bulan yang lalu. Selebihnya bak kata seorang insan bernama Siti Nurhaliza (sekarang Dato’) biarlah rahisa…………
June2007
12- Hari Kebangsaan Rusia
Hari Keputerian Queen
Ulangtahun Loving day of the United State of America – mahkamah membenarkan perkahwinan campur antara kaum di USA
July 2007
Turun naik Johor Baharu-Putrajaya-Endau-Mersing-Seremban-Kuala Lumpur menguruskan Sunathon 2007
Lantikan sebagai Penceramah Kursus Kepimpinan Pelajar Cemerlang Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Batu Pahat, Johor oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Institut Kepimpinan & Latihan Semangat Yayasan Warisan Johor
Menghadiri Seminar Jati Diri Johor di Hotel Selesa anjuran Yayasan Warisan Johor & Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia UTM. Antara tokoh yang membentangkan kertas kerja termasuklah Prof Madya Dr Noriah, Prof Dr Zainal Kling, Datuk Dr Hassan Ahmad, Busana – Profesor Madya Dr. Siti Zainon Ismail, Agama – Professor Dr. Abd. Jalil Borham, Bahasa – Profesor Dr. Awang Sariyan dan ramai lagi.
Menjadi Jurugambar Tak Rasmi Anugerah Sastera Darul Ta’zim 2007 – antara penulis yang menerima anugerah pada tahun tersebut termasuklah Zaid Akhtar yang tertunai sudah janji saya untuk mengirim gambarnya .
Selaku Pengerusi Persatuan, bertindak sebagai Penasihat The 1st Islamic Medical Symposium of IMAM-RSC di Hotel Raudhah dengan kerjasama HUSM Kubang Kerian dan PPIM pusat.
Bertugas sebagai Jurugambar di Majlis Pernikahan rakan sekampus Lina dan Muiz di Kampar dan di sebelah pihak lelaki di Putrajaya.
August 2007
Makan malam bersama Tok Pa di Riverside PWTC yang turut dihadiri sama Olga@Azizah dan Jumaat
Menganjurkan Sunathon 2007 PPIM-RSC (Moscow) dengan kerjasama Institut Integriti Kepimpinan Latihan Semangat Dato Onn & Pejabat Daerah Mersing yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Dr Abdul Latiff dengan kira-kira 100 kanak-kanak dikhatankan beramai-ramai di Endau, Johor.
Pulang semula ke Moscow , menyambung pengajian tahun akhir sebagai pelajar perubatan di RSMU, Moscow
September 2007
Bertugas sebagai Jurugambar sempena Sambutan Ulangtahun 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia di Hotel Renaissance, Moscow
Ramadhan terakhir di Tanah Tsar
Oktober
Kempen sedekah pakaian terpakai ke Masjid Prospekt Mira, Moscow di Pejabat Mufti Russia sempena menyemarakkan Ramadhan Mubarak.
Syawal terakhir di Tanah Tsar – bersama delegasi Program Angkasawan
November
9-11 – Mewakili Perwakilan Kelab UMNO Moscow di Perhimpunan Agung UMNO 2007 di PWTC, Kuala Lumpur
23 – ISBIHA kembali ke rahmatullah
25 – Diundang oleh Penolong Editor Dewan Masyarakat untuk mengisi ruangan Suara Orang Muda di majalah berkenaan bagi cetakan Januari 2008
December
Rasa macam ada sesuatu tapi … macam tak ada pula. tak penting rasanya.
January 2008
Menduduki State Exam Surgery dan Hygiene & Public Health
1- Hasil penulisan disiarkan di kolum Suara Orang Muda di Dewan Masyarakat cetakan Januari 2008
1- Gambar Masjid Qul Shariff , Kazan menjadi pilihan editor majalah terbitan Zenith dari Germany dengan cetakan satu muka surat penuh
30 – Bertolak ke Murmansk , bandar terbesar di Kutub Utara dengan menaiki keretapi selama 2 hari perjalanan dalam penjejakian Aurora Borealis
February
Pulang dari Murmansk dengan penuh syukur kerana dapat menyaksikan Aurora Borealis pada malam terakhir di Murmansk


Undangan Perutusan buat warga PMRAM sebagai Pengerusi IMAM-RSC
Menerima tetamu Febuari
March
AGM PPIM RSC (Moscow) , Forum Maulud Nabi, Ceramah Motivasi oleh Left Col Dr Yunus Masjuki di Kedutaan Malaysia di Moscow dan seterusnya mengosongkan tampuk jawatan sebagai Pengerusi PPIM-RSC (Moscow)
17- Temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan menerima surat tawaran provisional sebagai Pegawai Perubatan UD41
April
4 – Gambar berjudul gadis metropolitan tersiar di CAIR- Chicago NEWS bagi artikel penulisan oleh Reem Rahman bertajuk Muslim headscarf is all-American
May
25 – Sajak Di Bangku Tua (Siapa Aku?) tersiar di akhbar Mingguan Malaysia.
Jun
1- Sajak 0.2 hektar yang hilang tersiar di Mingguan Malaysia
8- Sajak Peluk Cium Ayah tersiar di Berita Minggu
Sesungguhnya, seikhlas hati aku ingin merakamkan jutaan terima kasih buat semua , sesiapa sahaja yang telah mewarnai hidupku ini. Adakalanya warna itu merah, kadang pula bertukar biru lalu menjadi ungu. Ada juga warna biru itu diaduk kuning menjadi hijau. Sedang yang hitam terus hitam. Putih fitrahnya warna kekal begitu juga.
Aku terhutang segalanya bentuk penghargaan kepada sesiapa sahaja. Terima kasih. Aku tahu terlalu banyak cara untuk merakamkan rasa terima kasih ini, namun mustahil selepas jutaan kali dulanginya mampu menyamai apa sahaja yang kalian telah berikan, lakukan dan warnakan dalam hidupku ini.
Allah sahaja yang mampu membalasnya.
Filed under: Uncategorized | 1 Comment


































Salam Idham,
Happay Birthday…Sukses2 selalu….
Rgds
K.Suzi