soneta munajat cinta

soneta munajat cinta
Soneta Munajat
Soneta I (Bicara Hati 1)
Ketemukan dahi dengan sejadah,
Dalam sujud aku penuh berserah,
Pujian hanya pada Rabbulizzah,
kerdilnya hamba, insan yang lemah.
Kupanjatkan doa pada Yang Esa,
Sepenuh hati kusampaikan bicara,
Dalam doa mengharap cinta,
tulus kekal abadi selamanya.
Aku resah dalam kesah,
doa mungkin dijawab entah,
kerana aku abdi yang leka,
Saban masa melakukan salah
mustahil cinta kuharap indah,
andai hati dicemari lara.
Soneta II (Bicara Hati 2)
Sendiri, dalam kepekatan malam,
Munajatku mengetuk pintu-Mu,
Sepi,menangis ingatan dosa semalam
nista terkutuk pohon ma’firat Yang Satu.
Sendiri, dikurung penjara resah,
Besi-besi syaitan yang mengurung jiwa,
Kubiarkan diri ke pelukan-Mu berserah,
membebaskan hati yang kagen cinta.
lara sirna dirayu suluhan pelita,
petunjuk Al-Khaliq yang mencipta,
mendaki puncak Cinta Yang Kuasa.
kuakui ranjau penuh gelora,
aku pengembara papa-kedana,
miskin mengemis cinta Maha Esa!
khairil idham ismail
0122 moscow russia
may 20, 2008
jamadilawal 14,1429
Filed under: Uncategorized | 4 Comments

Baru tertengok komen anda terhadap sajak Madinah. Saya telah membaca puisi anda sepintas lalu. Anda juga berbakat besar dalam menulis puisi. Barangkali setengah barisnya boleh dipadatkan lagi. Misalnya baris (sepenuh hati kumenyampaikan bicara) boleh dipadatkan dengan (sepenuh hati kusampaikan bicara), dan setengah kata-kata penghubung boleh dibuang saja, misalnya: “yang”, “kerana” pada baris (kuakui ranjau penuh gelora/kerana aku pengembara papa-kedana/yang miskin mengemis cinta Maha Esa). Baris itu akan jadi lebih padat:
kuakui ranjau penuh gelora
aku pengembara papa kedana
miskin mengemis cinta Maha Esa.
Teruskan berkarya.
(Wan A. Rafar)
salam. kemas sungguh sonnet di atas, samada penstrukturan mahupun pengertiannya. namun, kalau langgam bahasa yg digunakan lebih berkesinambungan dari segi rimanya, pasti dpt menjadi seindah sajak tinta menjadi obor (rujuk GLKN). tapi, sonnet abg KI ini sudah cukup tinggi pengertiannya. cukup menginsafkan. tahniah dan teruskan lagi berkarya. saya gemar membaca hasil nukilan org lain termasuklah abg KI kerana hasil nukilan saya sendiri agak teruk dan perlu diperbaiki lagi.
wan a. rafar
Terima kasih singgahnya Tuan. Sangat terharu dan berterima kasih atas kesudian dan tunjuk ajar yang diberikan. Saya telah membetulkan sedikit soneta di atas mengikut saranan tuan. Terima kasih juga atas dorongan. Mohon agar terus diberikan tunjuk ajar.
ikhlas,
khairil idham ismail
judin,
wsalam wbt. terima kasih banyak. kalau judin perasan ada ritma yang cuba dikenakan bagi memenuhi kriteria sebuah soneta/sonnet yang mempunyai 14 baris ayat semuanya tapi sayang juga bila soneta ditinta oleh penyusun kata yang kurang bacaannya, cetek ilmunya jadilah cacat merba sini sana. Terima kasih singgahnya dan meninggalkan komen. Barangkali saya yang perlu minta tunjuk ajar judin kerana saya baru lagi nak bertatih. Saya juga gemar membaca hasil nukilan saudara dan kak sarah di antologi.
Terima kasih.
Selamat menempuhi peperiksaan.
khairil idham ismail